Sedihnya bila mendengar Harith menangis sambil tersedu... Ibu & Ayah pergi mana? Harith nak ibu dengan Ayah, kenapa tinggalkan Harith?...
Kebiasaannya...
aku tinggalkan Hafidz, Harith & Sheera untuk tidur dengan mengajarkan mereka membaca Bismillah, doa tidur dan mengucap dua kalimah syahadah. Selepas itu aku akan ucapkan selamat malam @good night dan Ibu sayang anak ibu @I love you, sambil mencium pipi mereka.
Malam ini, entah kenapa, tiba-tiba ingin pula bercerita mengenai Yang Maha Pengasih.
Mula-mula bercerita dengan Hafidz. Seperti biasa penerimaannya adalah mengangguk dan diam. Entah dia faham entah tidak. Bila disuruh baca bismillah, berdoa dan mengucap, kuat sahaja suaranya. Tetapi apabila diminta berdoa memohon dengan Yang Maha Mendengar supaya menjadikannya rajin belajar dan menjadi anak yang soleh, terus digelengkan kepala. Bila ditanya kenapa? Katanya tidak pandai. Bila diajar dan diminta ulang apa yang diucapkan, dia mengangguk sahaja. Alhamdulillah... Mungkin sebab di sekolah telah banyak didedahkan mengenai kebesaran Allah.
Berbeza pula dengan Harith.
Baca doa tidur, kuat suara mengulang apa yang aku ucapkan. Mengucap dua kalimah syahadah juga begitu. Kemudian aku bercerita... bila nanti Harith seorang diri, Ayah tak ada, Ibu tak ada, Nenek & Atuk pun tak ada, Harith boleh berdoa pada Allah, sebab Allah Maha Mendengar. Harith doa supaya Ibu & Ayah cepat-cepat datang, nanti Allah tolong. Nanti Allah akan jaga Harith. Allah hantar malaikat jaga Harith...
Terus menangis...
Ibu & Ayah pergi mana? Harith nak ibu dengan Ayah, kenapa tinggalkan Harith?... sedihnya dengar dia menangis & merayu...
Aku cuba hendak membetulkan kefahamannya... tetapi makin kuat pula tangisannya. Aku ceritakan Allah yang paling sayang dengan Harith. Allah lagi sayang daripada ibu sayang Harith. Allah ada di mana-mana. Terus dia menjawab Harith taknak Allah, Harith nak Ibu. Sayunya hati, terasa bersalah pula pada anakku ini. Aku memujuk hati dengan mengatakan, dia masih kecil, belum faham mengenai apa yang cuba ku terangkan... Bagaimana ya untuk bercerita dengan anak kecil ini, yang suka bertanya apa? siapa? di mana? bagaimana? dan mengapa?, mengenai kebesaran Tuhan Yang Maha Esa?
Nanti akan ku cuba lagi mengajarnya mengenali Sang Pencipta.
cherish the moment. he's goin to grow out of this before we all know it ;)
ReplyDeleteI am. Blessed with these three beautiful angels. Thank you:)
ReplyDelete